Apakah itu Alam Barzakh?

 Apakah itu Alam Barzakh?

Perkataan Barzakh itu merupakan perkataan Arab "برزخ" yang bermaksud alam kubur yang membatasi antara dunia dan akhirat. Barzakh merupakan tempat persinggahan jasad makhluk sehingga dibangkitkan pada Hari Kiamat. Ketika di Alam Barzakh, kita akan berjumpa dengan Malaikat Mungkar dan Nakir.


Menurut kitab Lisan al-Arab oleh Ibnu Manzur: Makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar, iaitu daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh. (Lihat Lisan al-Arab, 3/8)


Telah disebut di dalam Mukhtar al-Sihah: Makna barzakh ialah dinding pembatas antara dua benda. Ia juga membawa makna apa yang terdapat di antara alam dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi siapa yang mati maka itu bermakna dia telah masuk ke dalam alam barzakh. (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 73)


Al-Jurjani dalam al-Ta'rifat berkata: Al-Barzakh (البرزخ) disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran dan semuanya disebut dalam bentuk kata nama. Dari segi bahasa ia bermakna sesuatu atau penghalang antara dua perkara. (Lihat al-Ta'rifat, hlm. 45)


Allah SWT berfirman:


وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ


Maksudnya: Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).


Surah al-Mukminun (100)


Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud al-barzakh dalam ayat di atas memetik beberapa pandangan, antaranya:


Muhammad bin Ka`ab mentakrifkannya sebagai sesuatu antara dunia dan akhirat, bukan bersama ahli dunia yang boleh makan dan minum dan bukan bersama ahli akhirat yang menerima balasan amal mereka.

Abu Sakhr mengatakan al-barzakh adalah kubur, bukan di dunia, bukan di akhirat. Mereka menetap di dalamnya sehingga hari dibangkitkan.

Al-Dahhak menyebut, ia adalah satu tempoh antara kematian dan hari dibangkitkan.

Mujahid pula memberi definisi al-barzakh sebagai penghalang untuk mereka (orang yang mati) kembali ke dunia. (Lihat Tafsir al-Quran al-`Azim, 5/494. Lihat juga Ma'alim al-Tanzil, 5/428)

Imam al-Qurtubi pula dalam menjelaskan ayat di atas menyebut bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan. (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 6/113)


Syeikh al-Maraghi berkata: "Di hadapan mereka terbentang sesuatu yang menghalang mereka untuk kembali ke dunia hingga ke hari Kiamat. Di sini terdapat keputusan muktamad untuk mereka berkenaan kembali semula ke dunia. Jika mereka tidak dapat kembali semula sebelum hari Kiamat, maka apalagi sesudahnya, pasti mereka tidak akan berjaya untuk kembali ke dunia selama-lamanya kerana sudah pasti setelah berlaku hari kebangkitan, seseorang itu tidak dapat kembali semula ke dunia kecuali akan tinggal di akhirat untuk selama-lamanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4690) 


Jin dan Syaitan


Syaitan merupakan kata umum untuk setiap entiti ṭaghūt, penderhaka dan golongan sesat, samada daripada golongan manusia atau daripada golongan jin mahupun daripada golongan yang lain. Syaitan juga merupakan perkara ghaib yang tidak dapat dilihat melalui panca indera. 

Syaitan adalah golongan yang engkar dari kalangan jin dan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 112 bermaksud: "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu".

Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan bermaksud 'menjauhkan'.

Firman Allah dalam surah al-A`raf ayat 16-17 bermaksud: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".

Menurut Ibn Qayyim maksud "jalan yang lurus" di dalam ayat di atas ialah Islam ialah jalan yang membawa kepada Allah SWT. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam pada semua jalan.

Ibn Qayyim menyatakan lagi: "Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya".


Jin adalah nama jenis, bentuk tunggalnya adalah Jiniy yang bermaksud "yang tersembunyi" atau "yang ghaib". Sebab itulah kita mengaitkannya dengan sifat yang umum "alam ghaib". Akidah Islam memaksudkannya dengan makhluk-makhluk berakal, berkehendak, sedar dan punya kewajipan, berjasad halus and hidup bersama-sama kita di bumi ini. Dalam sebuah hadith dari Abu Tha'labah yang bermaksud : "Jin itu ada tiga jenis iaitu : Jenis yang mempunyai sayap dan terbang di udara, Jenis ular dan jengking dan Jenis yang menetap dan berpindah-pindah."

Jin adalah seumpama manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Oleh itu, terdapat dalam kalangan jin golongan yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya

Allah S.W.T. menciptakan jin sebelum menciptakan manusia, dengan selisih waktu yang lama bila dikiaskan pada manusia mahupun jin sendiri. Allah S.W.T. berfirman ( maksudnya ) : "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering ( yang berasal ) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin, sebelum itu dari api yang sangat panas. ( Surah Al-Hijr: 26-27 ).

Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27 bermaksud: Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas."

Jin dan manusia memiliki kewajipan menyembah Allah.

Surah al-Dzariyat : ayat 56

"Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Ku (Allah)"

Surah al-an'am : ayat 130

"Wahai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dan golongan mu sendiri, yang menyampaikan kepadamu tentang ayat-ayat Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini? Mereka berkata : Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri, kehidupan dunia telah menipu mereka, dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang kafir"




Comments